SELAMAT DATANG KE BLOG Cikgu Jilah SMK Datuk Undang Abdul Manap

Monday 18 June 2012

Kenapa Rasulullah Larang Minum Berdiri?

     Tabiat buruk minum berdiri sama sekali ditegah oleh Rasulullah S.A.W kerana tabiat ini mampu memberikan kesan kepada kesihatan tubuh badan untuk jangka masa panjang.  Menurut pakar perubatan, Dr. Abdul Razzak Al-Kailani berkata, makan dan minum secara duduk lebih baik dari segi kesihatan, lebih selamat dan lebih puas kerana makanan dan minuman lalu di dinding perut dengan secara tenang.

     Kajian perubatan juga menunjukkan di dalam tubuh badan manusia terdapatnya sejenis penapis ‘sfringer’ yang bertindak membuka bukaannya ketika duduk dan tertutup ketika berdiri.  Air yang diminum setiap hari bukanlah 100% ditapis sepenuhnya dan apabila masuk ke dalam tubuh badan, sfringer akan bertindak menapis segala benda asing dalam air sebelum disalurkan ke seluruh tubuh.  Jadi, sekiranya air masuk ketika tubuh berdiri, maka air itu tidak akan ditapis terlebih dahulu kerana sfringer tertutup dan terus dibawa ke kantung kecing yang boleh menyebabkan timbulnya penyakit lain iaitu penyakit batu karang.

     Minum secara berdiri juga akan memberikan tekanan penurunan air yang tinggi ke dalam perut dan keadaan itu menyebabkan kondisi perut terkejut.  Malah, air akan jatuh ke lapisan perut dengan keras dan akan melanggar lapisan dinding-dinding perut.  Sekiranya tabiat minum berdiri selalu diamalkan, dinding-dinding perut akan menjadi longgar dan akan menimbulkan penyakit lain, iaitu susahnya untuk menghadamkan makanan.

     Seorang lagi pakar kajian, Dr. Ibrahim Ar-Rawi juga berpendapat, ketika tubuh berdiri, otot-otot badan akan menjadi tegang dan akan turut memberi tekanan kepada sistem saraf pusat (Central Nervous System) kerana terpaksa berkerja ‘terlampau’ aktif mengawal semua otot untuk melakukan proses pengimbangan badan ketika berdiri.  Keadaan itulah yang akan menyebabkan organ-organ dalam badan tidak dapat berehat seketika selepas bekerja.

     Berbeza ketika minum secara duduk, sistem saraf dan otot akan berada di dalam keadaan tenang dan mampu untuk menjalankan tugas dan memproses segala bentuk bahan secara betul yang masuk ke dalam badan termasuklah air dan makanan.  Namun, Rasulullah S.A.W mengharuskan untuk minum dalam keadaan berdiri bergantung kepada keadaan seperti berada di tempat yang terlalu sesak dengan orang ramai.

     Berlainan pula dengan kisah di mana Rasulullah S.A.W minum air zam-zam dalam keadaan berdiri berdasarkan hadis dari Ibn Abbas.  Air zam-zam mengandungi kandungan fluorida yang tinggi yang memiliki daya efektif membunuh kuman dan mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding sumber air-air yang lain seperti keputusan kajian yang terhasil dari pakar-pakar pengkaji.  Dari sudut saintifik, air zam-zam bersifat alkali dan akan dapat meneutralkan asid secara tidak langsung yang terhasil dalam perut.  Sebab itulah Rasulullah S.A.W. mengamalkan minum berdiri ketika meminum air zam-zam.

     Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat dan beberapa kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain.  Kandungan inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah haji yang meminumnya dan memberi ketahanan antibodi kepada orang yang meminumnya.

     Justeru, setiap amalan dan tindakan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W pastinya terkandung seribu kebaikan dan manfaat kepada umat-umatnya. Jadi, tidak salah bukan bagi kita untuk mengubah tabiat buruk kepada yang lebih baik?  “Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal” – Surah an-Anfal : Ayat 2.

Thursday 24 May 2012

Rahsia di sebalik senyumanmu….

  • Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk joging dalaman dan dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.
  • Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.
  • Apabila darah yang ‘sudah sejuk’ ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan ‘gembira’. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.
  • Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.
  • Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.
  • Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa daripada orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari dalam kalangan orang dewasa. Justeru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.
  • Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis ‘stres’ iaitu stres yang baik dan stres yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stres yang baik. Stres yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.
  • Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan di sebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Daripada keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon ‘endorphins’ dan hormon ‘neurotransmitters’ dan penurunan tahap hormon stres ‘cortisol’ dan ‘adrenaline’ .
  • Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semula jadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).
  • Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.
  •  Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.
  • Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana senyum membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa ‘mengurut’ organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.
  • Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrien dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.
  • Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, hanya sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.
  • Pujangga menyebut :
    ” SENYUM ITU KELOPAK. KETAWA ITU BUNGA YANG SEMPURNA KEMBANGNYA”.

Monday 21 May 2012

Persoalan

1.  Keikhlasan memberikan pertolongan tanpa mengharapkan sebarang balasan.
     Contohnya,  Encik Bakar sanggup mengajar Hilmi bermain pelbagai jenis alat muzik
     dan menggubah lagu tanpa sebarang bayaran kerana dia dapat melihat bakat seni yang
     ada  dalam  diri Hilmi.

2.  Sikap mementingkan pangkat dan kedudukan dalam kehidupan seharian.
     Contohnya, Datin Salmah malu mengkui Hilmi anak saudara suaminya kerana Hilmi
     orang kampung yang miskin dan berpendidikan rendah sedangkan ahli keluarganya
     berpangkat besar.

3.  Kesanggupan untuk berkorban demi kebahagiaan orang lain.
     Contohnya, Pak Karim sanggup merahsiakan bahawa Hilmi ialah anak kandung Datuk
     Johari dengan bekas isteri pertamanya demi kebahagiaan rumah tangga Datuk Johari
     dan Datin Salmah.

Friday 18 May 2012

Temanya ialah ketabahan menempuh cabaran dalam kehidupan sehingga berjaya mencapai kejayaan yang gemilang.

Contohnya  :  Gigih mempelajari ilmu muzik daripada Encik Bakar walaupun pada masa yang sama terpaksa membahagikan masanya untuk bekerja sebagai pembantu di stesen minyak Shell Jalan Setapak sehingga menjadi seorang pemuzik yang terkenal.

Wednesday 16 May 2012

     Konserto Terakhir mengisahkan seorang anak kampung bernama Hilmi yang telah datang ke rumah bapa saudaranya, Datuk Johari untuk mencari pekerjaan. Kedatangannya tidak disenangi oleh Datuk Johari sekeluarga terutamanya Datin Salmah. Oleh sebab Hilmi hanya berkelulusan darjah empat sekolah Melayu, Datuk Johari tidak berjaya mendapatkan sebarang pekerjaan untuknya dan akhirnya Hilmi diambil bekerja sebagai tukang kebun di rumahnya.

     Hilmi seronok  dengan pekerjaannya sebagai tukang kebun walaupun tidak mendapat layanan yang baik. Datuk Johari mempunyai seorang anak gadis yang bernama Hayati yang sudah bertunang dengan Mohsin. Hilmi dalam diam-diam menaruh hati kepada adik sepupunya itu sehinggakan dia cemburu dengan hubungan antara Hayati dengan Mohsin. Di samping itu, Hilmi juga terpikat dengan alunan piano yang dimainkan oleh Hayati. Hilmi secara tidak sengaja telah merosakkan piano tersebut dan telah menyebabkan dia dimarahi Datin Salmah dan dipotong gajinya.

     Hilmi ditugaskan untuk menjaga rumah ketika Dato' Johari sekeluarga pergi bercuti ke luar negara. Hilmi telah berkawan dengan Mamat, iaitu pemandu Dr. Nathan yang merupakan jiran Datuk Johari. Mamat telah pulang ke kampung dan telah berkahwin dengan Esah. Mamat juga telah memperkenalkan Hilmi dengan Encik Bakar, seorang ahli muzik terkenal.  Encik Bakar amat berminat untuk melatih Hilmi menjadi ahli muzik yang terkenal tanpa sebarang bayaran kerana dia melihat potensi dalam diri Hilmi.

     Setibanya Dato' Johari sekeluarga di pekarangan rumah, mereka telah mendengar bunyi piano dimainkan. Hayati terpesona melihat Hilmi bermain piano. Datin Salmah terpegun. Datuk Johari tegak tidak bergerak. Akhir Hilmi menyedari seperti diperhatikan.  Layanan Hayati terhadap Hilmi telah berubah.  Hubungan mesra Hilmi dan Hayati tidak disenangi oleh Datin Salmah.  Hayati memberi oleh-oleh sebuah boneka menari kepada Hilmi. Datin Salmah telah menuduh Hilmi menggunakan ubat guna-guna untuk memikat Hayati. Akhirnya Hilmi terpaksa meninggalkan rumah Datuk Johari dengan alasan untuk balik ke kampung.
     Hilmi tidak jadi balik ke kampung tetapi telah bekerja di sebuah stesen minyak di Jalan Setapak. Hilmi kemudian meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang pemuzik dan terus belajar muzik dengan Encik Bakar.  Hilmi juga telah berjaya menggubah lagu pertama yang berjudul “Sebuah Intermeso”.  Hilmi kecewa apabila dia mendapat berita perkahwinan Hayati dengan Mohsin. Untuk meneruskan cita-citanya Hilmi berhenti dari kios minyak petrol itu dan Encik Bakar membawanya bermain di dalam quartet yang dipimpinnya. Akhirnya Hilmi telah muncul sebagai “Pemain Biola Hikmat Malaysia”. Hayati pula telah mendapat biasiswa daripada British Council untuk belajar muzik di Conservatory of Music selama dua tahun dan akan berangkat ke London. Dengan pertolongan Mamat, Hilmi sempat berjumpa dengan Hayati. Hilmi telah menggubah sebuah lagu berjudul “Detik-detik Perpisahan” sempena perpisahannya itu. Sesuai dengan perkembangan muzik ketika itu Hilmi dan Azizah, iaitu anak Encik Bakar telah menubuhkan sebuah kugiran, yang diberi nama Kugiran Dahlia. “Kugiran Dahlia” dengan cepat mendapat popularitinya. Akhirnya Hilmi dan Azizah diijabkabulkan sebagai suami isteri.

    Rumah tangga yang dibina bersama Azizah tidak bahagia. Keretakan yang terjadi dalam rumah tangganya itu tidak dapat diselamatkan. Perasaan Hilmi bertambah sedih apabila mendapat berita Encik Bakar telah meninggal dunia. Sebuah lagu bertajuk "Seniman" telah dicipta khas untuk bapa mentuanya itu. Tiga tahun berturut-turut Orkestra Hilmi telah muncul sebagai pemenang dalam pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM. Hilmi juga telah diminta untuk membuat satu pertunjukan Orkestra Perdana yang akan dihadiri oleh pembesar-pembesar negara. Dia memberi nama arrangement itu “Hilmi Potpouri”.

     Hilmi telah bekerja siang dan malam selama dua bulan tanpa menghiraukan makan dan minum. Tidurnya amat sedikit sehinggakan kesihatannya terganggu. Pada saat-saat pertunjukan Orkestra Perdana akan berlangsung, Hilmi telah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Hayati telah muncul sebagai penyelamat keadaan dengan memimpin pertunjukan Orkestra Perdana itu.

     Keadaan Hilmi tenat. Ketika di hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya Karim. Pak Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi ialah anak Datuk Johari dengan bekas isteri pertamanya.  Berita itu menyebabkan Datuk Johari dan Datin Salmah menyesal kerana menganiayai Hilmi. Setelah diberitahu oleh doktor keadaan Hilmi semakin pulih, Datuk Johari dan keluarganya balik ke rumah. Setiba sahaja di perkarangan rumah, Datuk Johari menerima panggilan telefon menyatakan Hilmi telah meninggal dunia.


Tuesday 8 May 2012

Jom LDP

8 Mei 2012 - Latihan membina blog telah diadakan di Bilik Jamuan. Marilah kita membina blog masing-masing.  Terima kasih atas tunjuk ajar En. Zaini.